ULASAN KELAS EBOOK
"Kak Mas, terima kasih. Saya
memang tidak menyangka kelas ebook ini boleh membantu saya menghasilkan sebuah
ebook dalam masa 30 hari. Teruja sangat apabila berjaya menulis ebook Modul
bahasa Arab prasekolah." - Nadhilah Abdul Pisal
Jutaan terima kasih pada Puan
Masayu Ahmad (kak Mas) kerana memberi peluang saya menimba ilmu bersama rakan
yang lain di alam maya ini. Sangat berbaloi mengikuti kelas ebook ini bagi
mereka yang benar-benar bersungguh mahu menghasilkan sebuah buku. Yuran yang
dikenakan juga alhamdulillah sangat berpatutan dengan peluang berinteraksi
bersama mentor melalui whatsapp personal dan berkumpulan dalam tempoh 30 hari.
Kak Mas selaku mentor banyak
memberikan maklumat mengenai penulisan ebook, bermula dengan proses
menghasilkan bank idea, rutin penulisan, kerja suntingan, peluang pemasaran dan
jualan ebook. Selain itu, saya juga rasa gembira apabila diberi hadiah ebook
oleh mentor. Sambil belajar ilmu penulisan, saya dapat menambah ilmu melalui
karya penulis lain.
Apa yang saya belajar?
Pembelajaran kelas ebook dengan kak
Mas sangat berbeza dengan proses pembelajaran bersama guru penulisan yang lain.
Kita dapat belajar disiplin masa untuk menyiapkan sesuatu tugasan. Walaupun
masing-masing ada halangan tersendiri dalam kehidupan, sekurang-kurangnya rutin
menulis yang diajar oleh kak Mas boleh menjadi satu panduan asas untuk menulis
buku seterusnya.
Selain disiplin masa, saya juga
suka cara belajar menulis melalui blog. Penulisan kita bakal dipaparkan pada
halaman blog masing-masing. Kita akan mudah memantau perkembangan hasil kerja
sendiri dari semasa ke semasa. Dalam masa yang sama, kita boleh menjadi lebih
berani untuk berkongsi idea dengan orang lain.
Penulisan dalam buku nota sebagai
bank idea juga agak menarik. Cara kak Mas membahagikan buku nota kepada
bahagian tertentu yang merujuk kepada bab penulisan lebih praktikal untuk
digunakan. Saya suka idea pembahagian ini untuk memudahkan rujukan apabila
menulis idea mengikut urutan bab.
Apa yang mencabar?
Saya mendapat tahu mengenai kelas
ebook kak Mas daripada seorang kenalan secara tidak langsung. Saya tidak
diberitahu kelas ebook kak Mas agak berat tugasannya. Kelas ini bukan sekadar
perkongsian maklumat penulisan kerana segalanya melibatkan proses praktikal
yang berlangsung selama 30 hari.
Ada masanya saya tidak berdaya
mengikut rentak mentor disebabkan masalah kesihatan diri dan anak-anak. Tidak
kurang juga timbul kepayahan disebabkan tiada idea penulisan dan momentum yang
turun naik kerana komitmen tanggungjawab yang lain.
Rezeki menulis setiap individu
tidak sama, ada yang laju dan ada juga yang lambat. Hampir ke saat akhir
berakhirnya kelas ebook ini, saya masih bertungkus lumus untuk menyiapkan
kerja-kerja penyuntingan.
Terima kasih kak Mas kerana memberi
ruang dan peluang kepada saya untuk terus menulis. Nasihat kak Mas supaya
menghabiskan sesuatu yang telah dimulakan menjadi bekal semangat untuk saya
menyelesaikan penulisan ebook ini.
Kak Mas sememangnya mempunyai idea
bisnes dan berpandangan jauh. Tidak pernah terlintas di fikiran saya mahu
menghasilkan modul belajar bahasa Arab sebagaimana saranan kak Mas. Terima
kasih banyak untuk idea modul ini kak Mas walaupun saya sebenarnya tidak arif
mengenai kandungan sesuatu modul pada awalnya.
Agak berat menulis sesuatu bahan
yang tidak pernah kita kuasai gaya penulisannya. Pelbagai bahan saya belek dan
cari untuk memahami pengisian sesuatu modul. Akhirnya, bertemu juga jawapan
yang menunjukkan modul ini turut dipanggil sebagai buku panduan yang
menyediakan maklumat pelaksanaan sesuatu tugasan langkah demi langkah.
Syukur alhamdulillah, tugasan
penulisan ebook yang berat ini ada berkat. Apabila kita tidak lagi berada dalam
zon selesa, kita bakal menjadi lebih kreatif dan produktif menghasilkan sesuatu
idea penulisan. Semuanya bergantung kepada niat dan usaha juga.
Terbaik kak Mas kerana membuka
jalan dan memberi ruang saya berfikir. Bagi sesiapa yang mahu mencungkil potensi
diri, mengetahui skop penulisan yang sesuai, menghasilkan sebuah ebook dalam
masa sebulan dan menguasai teknik disiplin menulis yang berkesan, jangan lupa
berguru dengan kak Mas. Syarat awalnya kena rajin, sabar dan ada kemahuan yang
tinggi untuk belajar.
Yang benar,
Nadhilah Abdul Pisal
Alor Setar, Kedah
10 April 2019.
No comments:
Post a Comment