Friday, August 21, 2020

Marina Mohd Som Seronoknya Belajar English

 

Sebenarnya dalam masa 30 hari lebih ini, terlalu banyak yang telah saya pelajari, bukan sahaja tentang menulis, menyunting dan menerbit. Dalam dunia penulisan dan penerbitan, terdapat pelbagai proses teknikal yang perlu kita lalui dengan teliti. Bagi saya yang pertama kali melibatkan diri dalam bengkel penulisan ini, ia amat memberi sedikit tekanan kepada saya. Namun, saya akur inilah cabaran yang saya harus hadapi untuk menghasilkan karya-karya di masa akan datang. Sekurang-kurangnya saya mendapat gambaran awal tentang dunia penulisan dan penerbitan yang sebenar, dan lebih bersiap siaga untuk melalui proses serta cabarannya. 

Terus-terang, inilah bengkel paling mahal pernah saya sertai. Setiap hari seawal subuh, Puan Mas sentiasa memberi peringatan kepada saya bersama peserta-peserta bengkel yang lain tentang tugasan harian serta persediaan untuk tugasan yang akan datang. Kami juga bebas bertanyakan soalan di dalam kumpulan whatsapp dan dijawab oleh para guru yang berkaitan. Apabila kami berdepan dengan masalah, kami boleh sampaikan kepada Puan Mas dan beliau akan memberi nasihat yang sepatutnya kepada kami. Puan Mas selalu mengingatkan para peserta bengkel tentang peruntukan masa sehari untuk menyiapkan tugasan ini. 

Puan Begum, guru kaver buku juga mengajar cara menyediakan kaver buku yang mudah. Beliau juga tidak lokek ilmu tentang cara-cara untuk mencari idea untuk mereka bentuk kaver e-book pertama saya. Puan Hifzaila guru suntingan sentiasa berkongsi tips-tips untuk menyunting penulisan kita dengan baik dan teratur. Beliau juga berkongsi tentang bagaimana kita boleh membangunkan idea yang kita ada. Saya mendaftar pada penghujung bulan Jun, dan diserap masuk ke dalam kumpulan whatsapp Tulis dan Terbit Ogos 2020 seawal 1 Julai. Saya bermula dengan menjawab 8 soalan analisa. Ini bermakna saya ada 31 hari bonus sebelum kelas bermula.

 Nasihat saya kepada bakal peserta bengkel yang akan datang, manfaatkanlah setiap hari yang ada untuk menyiapkan tugasan. Jika tempoh yang diberi diguna dengan sebaiknya, saya pasti kalian boleh menghasilkan lebih dari sebuah e-book. Selain cabaran mengimbangi tugasan dengan kerja-kerja hakiki, saya juga diuji dengan masalah kesihatan ketika hari ke-18 tugasan. Sebenarnya saya sudah ‘beri cuti’ kepada diri sendiri dari tugasan selama 4 hari sebelum itu. Kononnya menganggap diri sendiri masih mampu bertahan dengan sekadar berehat sebentar dari bekerja di hadapan komputer. Akhirnya, badan saya memberi isyarat untuk berhenti daripada membuat sebarang kerja dan saya serah diri ke hospital untuk rawatan lanjut. Mujur tiada apa yang serius, saya dapat pulang dari hospital pada hari yang sama. Cuma saya diberi nasihat supaya banyakkan berehat dan tidak mengangkat beban yang berat. Kata Puan Mas, setiap masa yang ada jangan kita gunakan untuk perkara lain terutamanya di Facebook. “Masa tidak mengurus kita, kita yang mengurus masa.” Jika kita berjaya menyelesaikan e-book pertama ini, dengan izin Tuhan kita mampu menyempurnakan e-book seterusnya.





No comments:

Post a Comment