Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan sekalian ahli keluarga baginda.
Alhamdulillah, setinggi kesyukuran saya rafa’kan ke hadrat Allah kerana dengan izin-Nya saya berjaya menyiapkan ebook pertama saya yang bertajuk: Belajar Asas Tajwid: Makhraj dan Sifat Huruf.
Sudah sekian lama saya berniat untuk menulis dan hasilkan sebuah buku, tetapi saya tidak tahu di mana saya harus bermula. Saya sedar antara kelemahan saya adalah sikap tidak bersungguh-sungguh dan buat kerja ikut suka hati. Apabila menyertai kelas di bawah selian Puan Masayu ini, saya bagaikan buku bertemu dengan ruas. Terasa saya seperti diketuk setiap masa. Betul sakit. Tetapi benar kata orang, kadangkala kita perlukan sedikit tekanan untuk kita bergerak!.
10 hari pertama adalah fasa yang paling mencabar untuk saya. Pada awalnya, saya memilih Tajuk Belajar Asas Tajwid: Makhraj dan Sifat Huruf ini dengan niat untuk bukukan nota dan catatan saya semasa mengikuti kelas Talaqqi al-Quran sepanjang 2 tahun lepas. Selepas mula menulis dan menyusun bahan, saya baru sedari bahan sedia ada saya terlalu sedikit dan tidak mampu memenuhi sasaran guru tetapkan. Saya mula keliru dan kelam kabut dan hampir sahaja saya menukar tajuk.
Akhirnya saya kuatkan semangat. Mula mencari bahan tambahan dan merujuk pelbagai buku. Itulah punca saya sedikit ketinggalan. Alhamdulillah, berkat semangat dan panduan yang guru berikan sepanjang kelas, saya teruskan usaha sehingga berjaya hasilkan helaian seperti yang disasarkan.
Kepada sahabat-sahabat yang ingin belajar menulis atau menyertai kelas akan datang, saya nasihatkan untuk bersedia seawal yang boleh dari segi tajuk dan bahan-bahan berkaitan. Ikut nasihat dan panduan yang diberikan sepanjang kelas. Jangan ponteng tugasan walaupun sehari. Itu peringatan dan nasihat berguna supaya kita tidak sakit dan penat di hujung tugasan. Pada pandangan saya, sikap dan disiplin diri inilah faktor utama berjaya atau gagalnya satu-satu manuskrip itu dihasilkan.
Jika ditanya adakah berbaloi yuran yang dikenakan? Saya akan menjawab, sangat berbaloi kerana kelas ini seperti kelas pelbagai pakej. Kelas penulisan dan kelas membaiki pengurusan diri. Kelas ini juga bukan sekadar berikan kita panduan untuk menulis tetapi kelas yang “memaksa” kita menulis dan siapkan tugasan dalam masa yang ditetapkan. Selain itu, suatu yang menarik dalam kelas ini juga, kita akan mempelajari kaedah merekabentuk muka depan ebook dengan kreativiti sendiri menggunakan aplikasi percuma. Hasil rekaan kita pula akan dikritik dan diberi komen yang membina sebelum diterima dan dianggap lulus. Merekabentuk muka depan ebook sendiri sebelum menyiapkan manuskrip sepenuhnya memberi semangat dan kesan positif secara tidak langsung kepada penulis untuk siapkan tugasan masing-masing.
Terima kasih kepada barisan pembimbing kelas yang begitu bersemangat membantu kami. Hanya Allah yang layak mengganjarinya. Moga bertemu lagi dalam sesi akan datang dengan tajuk ebook baru pula Insya-Allah. Barakallahu fikum.
No comments:
Post a Comment