Thursday, September 3, 2020

Panduan Asas Pengajian Master

 



Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama tiga bulan membuatkan saya sedar betapa hidup ini ternyata hanya sementara untuk disia-siakan tanpa melakukan apa yang saya minati. Betapa saya menyesal tidak memaksa diri untuk merancang secara serius percutian mengelilingi Semenanjung dengan menaiki keretapi dan betapa saya berasa rugi untuk tidak menyegerakan perancangan untuk kembali ke Hiroshima University. 

Apabila perkara seperti Covid-19 menyerang, tiada apa lagi yang dapat saya lakukan selain diam di rumah dan mengenangkan hal-hal yang telah lama saya pendam untuk dilaksanakan tetapi hingga bertahun-tahun tiada satu yang tercapai.

Sebaik sahaja saya terbaca tentang Kelas Tulis dan Terbit Ebook, terus saya mendaftarkan diri sebagai salah seorang daripada peserta bagi sesi bulan Ogos. Matlamat saya ialah untuk menzahirkan angan-angan yang sudah lama terpendam iaitu untuk menghasilkan sebuah penulisan yang sudah lama tertulis di dalam minda.

Kelas Tulis dan Terbit Ebook amat sesuai bagi seorang yang sering menunda-nunda kerja, kerana kelas ini berbentuk intensif. Semua peserta dibimbing setiap hari selama 30 hari tanpa jemu dan kami perlu mematuhi tugasan-tugasan yang diberikan mengikut tempoh yang telah ditetapkan. Oleh itu, tiada istilah menangguh-nangguh kerja kerana setiap peserta perlu melaporkan perkembangan hasil penulisan masing-masing tepat mengikut jadual kerja. Yang diam seribu bahasa akan dihubungi terus oleh guru pembimbing.

    Peserta Kelas Tulis dan Terbit Ebook diajar tentang bagaimana menyusun isi kandungan penulisan, mencipta 

kaver ebook dan juga diberi bimbingan dari segi tatabahasa. Kelas yang cukup bermanfaat saya kira bagi mereka yang serius ingin menghasilkan penulisan manuskrip pertama. Kelas ini amat sesuai bagi mereka yang sudah lama mempunyai idea untuk menulis tetapi belum terlaksanakan atas faktor tiada ilmu dalam bidang penulisan apatah lagi untuk menerbitkan hasil karya sendiri.

     Yuran yang dikenakan untuk mengikuti Kelas Tulis dan Terbit Ebook ini sangat berbaloi-baloi dengan segala ilmu dan bimbingan yang diperolehi sepanjang berlangsungnya kelas. Seringkali saya mengulang pesan kepada anak-anak murid di sekolah, “Orang yang bijak belum tentu akan berjaya tetapi orang yang berusaha pasti akan berjaya.”
       
     Mulanya saya berasa sangsi untuk menghasilkan sebuah Ebook dalam masa 30 hari sahaja memandangkan kekangan dari segi masa dengan komitmen tugas hakiki. Benarlah, tiada yang mustahil jika kita betul-betul fokus dan komited. Akhirmya saya berjaya juga menyiapkan sebuah penulisan berbentuk EBook Modul bertajuk “Panduan Asas Pengajian Master”. Semoga ini menjadi jalan pembuka kepada saya menceburi bidang penulisan secara lebih serius dan matang di masa akan datang. Sekalung terima kasih kepada semua pembimbing yang tidak jemu-jemu membimbing saya dan rakan-rakan bagi sesi Ogos 2020.



















No comments:

Post a Comment