Lama saya menyimpan hasrat untuk menghasilkan Ebook yang
boleh dikongsikan kepada ramai orang selain daripada dapat dijadikan sumber
pendapatan tambahan. Saya juga ingin belajar cara bagaimana untuk membuat
jualan ebook secara dalam talian.
Alhamdulillah, akhirnya
saya ditemukan dengan seorang guru yang aktif mengadakan kelas ‘Tulis dan
Terbit Ebook Pertama’, iaitu Puan Masayu binti Ahmad.
Selepas mendaftar dan
menjelaskan yuran, baharulah saya tahu bahawa kelas ini bukan sekadar mengajar
kita cara untuk menulis dan menerbitkan ebook, tetapi ia juga mengajar cara
untuk menyediakan kaver Ebook menggunakan perisian ‘Canva’ dan ‘DIY Book
Covers’ oleh Puan Begum Irdawati.
Kelas ‘Tulis dan Terbit
Ebook Pertama’ menjadi lebih padat lagi apabila peserta diberikan Ebook ‘Kuasai
Asas Suntingan’ oleh Puan Hifzaila Hafni. Melalui Ebook ini, penulis dibimbing
dengan terperinci berkaitan dengan teknik asas suntingan supaya tulisan menjadi
lebih sedap dibaca dan berkualiti.
Kejutan pertama yang
saya dapat selepas mendaftar ialah penulis tidak dibenarkan ber’facebook’
sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 hari pertama penulisan. Semua perlu fokus
kepada disiplin untuk menghasilkan minima 5 entri setiap hari selama 10 hari.
Memang lain daripada yang lain. Entah kenapa, saya suka dengan kelainan ini.
Bermula dengan
menyediakan buku nota untuk mencatat semua isi penting mengikut bab, penulis
kemudiannya perlu memindahkannya ke dalam blog. Setiap hari, Puan Masayu akan
memantau kandungan blog dan membuat komen dalam kumpulan ‘Whatsapp’. Penulis
sentiasa dikejutkan dengan peringatan yang berterusan daripada Pn Masayu.
Memang tiada masa untuk berlengah dan berleka-leka. Bimbingan dan kesungguhan
seorang guru jelas terserlah bagi memastikan pelajarnya mencapai sasaran seperti
yang telah ditetapkan.
Pada awalnya saya
bercadang untuk menulis ebook tentang aktiviti matematik yang dapat
meningkatkan kemahiran berfikir di kalangan kanak-kanak, tetapi hampir 70%
bahan berada di rumah saya di Perlis. Kebetulan jumlah kes Covid-19 di
Perlis kembali meningkat, menyebabkan saya menangguhkan rancangan untuk balik
ke sana.
Selepas berbincang
dengan Pn Masayu, beliau mencadangkan supaya saya menulis kisah hidup sepanjang
34 tahun bertugas sebagai pendidik di sekolah dan di Institut Pendidikan Guru
(IPG). Ini bermakna saya terpaksa mengimbau kembali segala memori
sepanjang 34 tahun berkhidmat. Ianya membuat saya berasa agak tertekan kerana
perlu mengumpul bahan dan memastikan dapat menulis 5 entri setiap hari selama
10 hari.
Sebenarnya dengan
bimbingan berterusan Pn Masayu dan pasukannya, 5 entri dalam 1 hari bukanlah
mustahil. Banyak petua yang diberikan antaranya mesti konsisten menulis setiap
hari di awal pagi. Kekal mencatat isi penting bahan di buku nota. Dan reka
bentuk kaver buku sebenarnya sangat membantu memotivasikan penulis untuk terus
gigih menulis.
Tetapi melalui
pengalaman selama 30 hari berguru dengan Puan Masayu, saya tahu bahawa disiplin
diri dan iltizam untuk melihat sebuah ebook dapat dihasilkan dalam masa sebulan
adalah segala-galanya.
Pendapat saya, penulis
baru perlu memastikan dapat memperuntukkan sekurang-kurangnya 5 jam sehari
secara konsisten untuk memastikan sebuah ebook dapat dihasilkan dalam masa 30
hari. Mesti telah ada himpunan bahan cukup untuk 50 entri sebelum hari
pertama penulisan bermula. Selain itu, asas penulisan dan penguasaan nahu
dan tatabahasa yang baik juga sangat membantu untuk dapat menulis dengan pantas
dan menarik.
Jika masa boleh
diputarkan semula, saya akan pastikan waktu yang dipilih adalah pada
bulan di mana saya betul-betul ada kelapangan masa supaya tidak ada gangguan
dan dapat fokus kepada penulisan.
Yuran yang saya
belanjakan untuk mengikuti kelas ini memang sangat berbaloi dan memberikan
pulangan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang sangat berharga. Kelas ‘Tulis dan
Terbit Ebook Pertama’ di bawah bimbingan Puan Masayu dan pasukannya telah dapat
memandu saya untuk memahami serta mengamalkan proses menerbitkan ebook
secara tersusun.
Terima kasih tidak
terhingga, jasa puan terpahat di selamanya.
No comments:
Post a Comment