Kelas Tulis dan Terbit Ebook Pertama
Sebelum Ramadhan 1438H yang lalu, saya telah bertekad untuk menulis buku bagi merekodkan semua pengalaman yang boleh dimanfaatkan sepanjang mendidik anak - anak. Kelas penulisan telah saya hadiri, namun tuntutan kerja seharian mengurus anak yang belajar sepenuhnya di rumah membuatkan saya lemah untuk mendapatkan momentum penulisan.
Alhamdulillah, doa saya yang sedang mengharapkan batu loncatan akhirnya termakbul apabila ternampak status Puan Masayu Ahmad yang membuka kelas Tulis dan Terbit Ebook Pertama. Pada mulanya saya ragu- ragu takut gagal lagi setelah kursus demi kursus disertai. Namun sangkaan saya meleset, kerana kelas ini dijalankan dengan amat terancang sekali. Setiap hari selama 30 hari, peserta dipantau dan diberikan tugasan yang jelas. Langkah demi langkah yang disusun berjaya membuat saya memaksa diri menulis setiap hari atau fokus dengan tugasan.
Bermula dari memilih tajuk, menyusun bab, menulis, menyunting, menerbit ebook dan seterusnya teknik pemasaran, semuanya diberikan bimbingan dan arahan yang jelas. Perkongsian dan pertanyaan yang dibalas mesra oleh 'Kak Mas' sentiasa memberi semangat positif dalam perjuangan menghasilkan buku pertama ini. Suami juga gembira meluangkan masa membantu menjaga anak-anak kerana teruja melihat saya (akhirnya!) berjaya fokus menghasilkan sebuah penulisan yang saya cita- citakan. Ilmu ini pasti akan saya gunakan untuk buku- buku seterusnya, insyaAllah.
Semoga usaha pasukan Akademi Bekerja Dari Rumah ini sentiasa dirahmati Allah dan diberi ganjaran terbaik di sisiNya.
No comments:
Post a Comment