Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah, selawat dan salam
kepada Nabi dan sekalian ahli keluarga Nabi.
Kelas ebook yang saya
ikuti bulan ini (Jun/Julai) 2020 ini merupakan kelas yang keempat saya ikuti.
Ya, sudah kali yang
keempat. Tidak serik. Malah, saya tahu saya memerlukannya.
Saya beroleh momentum
dan fokus untuk menyiapkan penulisan setiap kali masuk kelas.
Kelas pertama saya
sertai adalah pada bulan Disember 2018.
Kata-kata peransang yang diberikan oleh Cikgu Masayu ketika itu,
"Mahfuzah, bersedia untuk ada buku sendiri menjelang 2019.
Ketika itu, saya hanya
menelan air liur. Ada was-was tentang
keupayaan diri menghasilkan lebih 50 muka surat dalam masa 10 hari.
Selama ini, saya
menulis ikut suka hati dan ikut mood.
Mampukah saya mengikut jadual yang cikgu berikan?
Bismillah sahaja. Kita
teruskan. Saya ikut semua jadual dan
arahan Cikgu. Apa sahaja komen cikgu
terhadap hasil kerja saya, saya terima dan
usaha untuk baiki.
10 hari pertama adalah
fasa yang paling mencabar. Wajib
kerahkan fikiran dan luangkan masa untuk menulis. Mesti penuhi sasaran yang
cikgu tetapkan. Setiap hari wajib menulis sekurang-kurangnya 5 muka surat atau
5 topik bagi setiap bab.
Cikgu pandu kami
menulis mengikut topik yang paling mahir dan mudah terlebih dahulu.
Tidak perlu tulis ikut
susunan bab. Guna pakai teknik KJ.
Hujung Disember 2018,
alhamdulillah, dapatlah saya menyiapkan manuskrip "Strategi Ulul
Albab" yang memberi panduan tentang kaedah menuntut ilmu dalam Islam.
Bukan setakat menyusun
kontennya, saya belajar merekabentuk kaver buku sendiri serta berlatih
menyunting karya dengan mata dan fikiran seorang editor.
Pengalaman menyertai
kelas ebook pada Disember 2018 memberi keyakinan bahawa saya boleh
menulis.
Sebagai orang baru yang
berjinak-jinak dengan penulisan, perasaan takut dan kurang yakin sering
mematikan semangat untuk menulis.
Alhamdulillah, dengan
sokongan dan panduan guru, setiap peserta dikerah juga untuk menulis.
Curahan penulisan lebih
utama daripada melayani perasaan was-was dan takut tentang tulisan yang
dihasilkan sedap atau tidak.
Keyakinan menulis yang
diperolehi dalam kelas pertama membawa saya untuk menyertai lagi kelas ebook
pada bulan Januari 2019. Teknik dan
kaedahnya sama.
Namun, berada dalam
kelas membangkitkan semangat dan keghairahan untuk menulis. Saya dapat rasakan
hikmah berjemaah dalam menulis.
Kelas bulan Januari
2019, saya berjaya hasilkan manuskrip, "Jadilah remaja yang berjaya dan
bahagia." Manuskrip ini saya
kumpulkan semua pesan dan buah fikiran saya
untuk remaja, hasil dari pengamatan dan pergaulan saya dengan pelajar-pelajar
di universiti.
Kelas ketiga saya ikuti
adalah pada bulan September 2019. Dalam
kelas itu, saya ingin menyiapkan manuskrip bertajuk "Panduan penerapan
tauhid dalam pengajaran." Namun, kesibukan tugas hakiki, hanya 85 peratus
sahaja yang siap.
Lama saya peram
manuskrip tersebut. Sehingga apabila
kelas ebook dibuka semula, saya terus mendaftar sebagai pelajar ulangkaji.
Banyak input baru. Pengisian lebih padat dan terperinci.
Saya ambil peluang
untuk mengemaskini ebook yang terkandas pada bulan September 2019.
Ramai rakan sekelas dan
alumni kelas ebook ini berjaya menghasilkan buku sendiri. Malah, kejayaan menerbitkan buku fizikal
bermula dengan penyertaan mereka dalam kelas ini.
Jika ditanya, apa yang
akan diperolehi dalam kelas ini? Saya
akan menjawab,
Pertama, keyakinan dan
semangat untuk menulis. Kelas ini bukan
sekadar berikan kita "tip" atau teori untuk menulis. Kelas ini "memaksa" kita
menulis.
Niat menulis yang lama
terpendam dan sering mati disebabkan rasa tidak yakin, dikerah dan dicungkil
bersungguh-sungguh oleh guru dan para pembimbing untuk akhirnya, kita
benar-benar berjaya menghasilkan sebuah manuskrip.
Kelas ini membuatkan
kita bangkit melawan dan menolak tepi segala alasan, rungutan dan "sifat
macam-macam" diri sendiri, untuk akhirnya menulis.
Bismillah,
Buat sahaja.
Terus tulis.
Kedua, kita akan
memperolehi coaching dan mentoring dari cikgu.
Cikgu akan memandu kita sama ada dalam kumpulan, atau secara
individu. Coaching yang diberikan adalah
setiap hari selama 30 hingga 40 hari.
Coaching ini nilainya sangat mahal dan tidak setanding dengan yuran yang
dikenakan.
Cikgu meluangkan masa,
berkongsi pengalaman dan memandu cara mengikut tahap setiap peserta.
Untuk pelajar yang
banyak tanya dan tidak cepat untuk faham, cikgu tidak pernah jemu melayan dan
menerangkan sehingga saya jelas. Alhamdulillah,
terima kasih cikgu.
Ketiga, kita turut akan
mempelajari kaedah merekabentuk muka depan ebook. Mengeluarkan kreativiti dengan menggunakan
aplikasi percuma sehingga berjaya membuat kaver buku yang menarik dan cantik.
Keempat, kita akan
diajar bagaimana menyunting naskhah sendiri sehingga benar-benar menjadi
manuskrip bersih. Belajar menilai dan
menyunting manuskrip sendiri setelah diperam dengan menggunakan minda dan mata
seorang editor.
Semua kemahiran ini
kita belajar sehingga boleh melakukannya sendiri.
10 hari yang pertama
adalah fasa kritikal, namun di hujung kelas ini, insya allah pesertanya akan
berpuas hati kerana melalui proses dan teknik mahal secara amali, dan boleh
digunakan berkali-kali.
Terima kasih kepada
cikgu dan para pembimbing kelas yang begitu komited dan bersemangat membantu
kami. Hanya Allah yang layak
mengganjarinya. Barakallahu fikum.
Dr. Mahfuzah Mohammed Zabidi.