Tuesday, July 21, 2020

Panduan Asas Pengacara Majlis Absha Atiah Abu Bakar




Syukur alhamdulillah, ebook ini berjaya juga disiapkan mengikut garis masa yang ditetapkan oleh Kelas Tulis Terbit Ebook bimbingan Puan Masayu Ahmad. Sekalung ucapan terima kasih diucapkan. Sesungguhnya, keputusan menyertai kelas secara online ini adalah tidak sia-sia, malah sangat berbaloi.

Tunjuk ajar yang diberikan bermula hari pertama kelas sehingga proses menerbitkan ebook ini berhasil melalui kaedah memaksimakan penggunaan blog, malah ternyata lebih mudah. 

Syaratnya, hanya perlu mendisiplinkan diri. Berikan komitmen 100%.
Ya, bukan mudah untuk ibu yang baru sahaja habis berpantang anak ketiga selama 60 hari ini menyiapkan satu demi satu entri blog yang diwajibkan. Pelbagai cabaran terpaksa ditempuh. Berkejar menguruskan anak-anak dan bayi. Sesekejap mencuri masa mencari bahan untuk ditulis di dalam buku nota lagi. Sesekejap berlari mencapai komputer riba untuk menulis entri. Sungguh, tidak mudah bagi saya.   

Walau bagaimanapun, menulis satu entri satu hari di blog dengan peruntukan masa selama satu jam sudah cukup untuk menyiapkan satu muka surat buku. Macam tak percaya! Itulah yang diajar oleh guru penulisan Kelas Tulis Terbit Ebook. Penggunaan ‘Label’ pula sangat memudahkan penyusunan bab demi bab buku. Proses suntingan juga boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa perlu risau susun atur buku berterabur. Tak stres!


KJ Method yang digunakan dengan memanfaatkan blog benar-benar memudahkan. Hasilnya, dalam tempoh kurang daripada satu bulan, tidak sampai 30 hari pun, saya dapat menyelesaikan ebook pertama dalam hidup saya. Lebih menggembirakan, bukan satu tetapi dua ebook berjaya dihasilkan. Subhanallah. Alhamdulillah.

Banyak perkara yang saya pelajari dalam kelas secara maya ini. Sokongan rakan-rakan peserta turut mendorong diri untuk sama-sama berusaha menyiapkan ebook yang diimpi. Sebelum mendaftar ke kelas ini, saya sudah pun berhajat untuk memiliki sekurang-kurangnya satu ebook. Keinginan itu membawa saya untuk buat sampai jadi walau apa jua halangan yang mendatangi.

Jujur, saya tidak menjangkakan gerak kerja penghasilan ebook ini memerlukan daya fokus 100%. Syukur, Allah SWT izinkan semuanya berjalan lancar. Terima kasih daun keladi buat Cikgu Masayu, Cikgu Begum Irdawati dan Cikgu Hifzaila. Ilmu yang kalian kongsikan sangat bermanfaat buat diri ini. Moga Allah berkati. Amin.
Absha Atiah Abu Bakar.













No comments:

Post a Comment