Tuesday, July 21, 2020

Dr. Mahfuzah Mohammed Zabidi Strategi Belajar Ulul Albab



Bismillahirrahmanirrahim.  Segala puji bagi Allah, selawat dan salam kepada Nabi dan sekalian ahli keluarga Nabi. 

Kelas ebook yang saya ikuti bulan ini (Jun/Julai) 2020 ini merupakan kelas yang keempat saya ikuti.
Ya, sudah kali yang keempat.   Tidak serik.  Malah, saya tahu saya memerlukannya. 
Saya beroleh momentum dan fokus untuk menyiapkan penulisan setiap kali masuk  kelas. 
Kelas pertama saya sertai adalah pada bulan Disember 2018.  Kata-kata peransang yang diberikan oleh Cikgu Masayu ketika itu, "Mahfuzah, bersedia untuk ada buku sendiri menjelang 2019.
Ketika itu, saya hanya menelan air liur.  Ada was-was tentang keupayaan diri menghasilkan lebih 50 muka surat dalam masa 10 hari. 

Selama ini, saya menulis ikut suka hati dan ikut mood.
  Mampukah saya mengikut jadual yang cikgu berikan?
Bismillah sahaja. Kita teruskan.  Saya ikut semua jadual dan arahan Cikgu.  Apa sahaja komen cikgu terhadap hasil kerja saya, saya terima dan  usaha untuk baiki.
10 hari pertama adalah fasa yang paling mencabar.  Wajib kerahkan fikiran dan luangkan masa untuk menulis. Mesti penuhi sasaran yang cikgu tetapkan. Setiap hari wajib menulis sekurang-kurangnya 5 muka surat atau 5 topik bagi setiap bab. 
Cikgu pandu kami menulis mengikut topik yang paling mahir dan mudah terlebih dahulu. 

Tidak perlu tulis ikut susunan bab.  Guna pakai teknik KJ. 

Hujung Disember 2018, alhamdulillah, dapatlah saya menyiapkan manuskrip "Strategi Ulul Albab" yang memberi panduan tentang kaedah menuntut ilmu dalam Islam.


Bukan setakat menyusun kontennya, saya belajar merekabentuk kaver buku sendiri serta berlatih menyunting karya dengan mata dan fikiran seorang editor.
Pengalaman menyertai kelas ebook pada Disember 2018 memberi keyakinan bahawa saya boleh menulis. 
Sebagai orang baru yang berjinak-jinak dengan penulisan, perasaan takut dan kurang yakin sering mematikan semangat untuk menulis.
Alhamdulillah, dengan sokongan dan panduan guru, setiap peserta dikerah juga untuk menulis. 


Curahan penulisan lebih utama daripada melayani perasaan was-was dan takut tentang tulisan yang dihasilkan sedap atau tidak.
Keyakinan menulis yang diperolehi dalam kelas pertama membawa saya untuk menyertai lagi kelas ebook pada bulan Januari 2019.  Teknik dan kaedahnya sama. 
Namun, berada dalam kelas membangkitkan semangat dan keghairahan untuk menulis. Saya dapat rasakan hikmah berjemaah dalam menulis. 

Kelas bulan Januari 2019, saya berjaya hasilkan manuskrip, "Jadilah remaja yang berjaya dan bahagia."  Manuskrip ini saya kumpulkan semua pesan dan buah fikiran saya untuk remaja, hasil dari pengamatan dan pergaulan saya dengan pelajar-pelajar di universiti.
Kelas ketiga saya ikuti adalah pada bulan September 2019.  Dalam kelas itu, saya ingin menyiapkan manuskrip bertajuk "Panduan penerapan tauhid dalam pengajaran." Namun, kesibukan tugas hakiki, hanya 85 peratus sahaja yang siap. 

Lama saya peram manuskrip tersebut.  Sehingga apabila kelas ebook dibuka semula, saya terus mendaftar sebagai pelajar ulangkaji. 
Banyak input baru.  Pengisian lebih padat dan terperinci.
Saya ambil peluang untuk mengemaskini ebook yang terkandas pada bulan September 2019. 
Ramai rakan sekelas dan alumni kelas ebook ini berjaya menghasilkan buku sendiri.  Malah, kejayaan menerbitkan buku fizikal bermula dengan penyertaan mereka dalam kelas ini. 
Jika ditanya, apa yang akan diperolehi dalam kelas ini?  Saya akan menjawab,
Pertama, keyakinan dan semangat untuk menulis.   Kelas ini bukan sekadar berikan kita "tip" atau teori untuk menulis.  Kelas ini "memaksa" kita menulis. 
Niat menulis yang lama terpendam dan sering mati disebabkan rasa tidak yakin, dikerah dan dicungkil bersungguh-sungguh oleh guru dan para pembimbing untuk akhirnya, kita benar-benar berjaya menghasilkan sebuah manuskrip. 
Kelas ini membuatkan kita bangkit melawan dan menolak tepi segala alasan, rungutan dan "sifat macam-macam" diri sendiri, untuk akhirnya menulis. 
Bismillah,
Buat sahaja.
Terus tulis.

Kedua, kita akan memperolehi coaching dan mentoring dari cikgu.  Cikgu akan memandu kita sama ada dalam kumpulan, atau secara individu.  Coaching yang diberikan adalah setiap hari selama 30 hingga 40 hari.  Coaching ini nilainya sangat mahal dan tidak setanding dengan yuran yang dikenakan. 

Cikgu meluangkan masa, berkongsi pengalaman dan memandu cara mengikut tahap setiap peserta. 
Untuk pelajar yang banyak tanya dan tidak cepat untuk faham, cikgu tidak pernah jemu melayan dan menerangkan sehingga saya jelas.  Alhamdulillah, terima kasih cikgu.
Ketiga, kita turut akan mempelajari kaedah merekabentuk muka depan ebook.  Mengeluarkan kreativiti dengan menggunakan aplikasi percuma sehingga berjaya membuat kaver buku yang menarik dan cantik. 


Keempat, kita akan diajar bagaimana menyunting naskhah sendiri sehingga benar-benar menjadi manuskrip bersih.  Belajar menilai dan menyunting manuskrip sendiri setelah diperam dengan menggunakan minda dan mata seorang editor. 
Semua kemahiran ini kita belajar sehingga boleh melakukannya sendiri. 

10 hari yang pertama adalah fasa kritikal, namun di hujung kelas ini, insya allah pesertanya akan berpuas hati kerana melalui proses dan teknik mahal secara amali, dan boleh digunakan berkali-kali. 
Terima kasih kepada cikgu dan para pembimbing kelas yang begitu komited dan bersemangat membantu kami.  Hanya Allah yang layak mengganjarinya. Barakallahu fikum.

Dr. Mahfuzah Mohammed Zabidi.

No comments:

Post a Comment